Sunday, 11 November 2018

Solat Gerhana



Apabila berlaku gerhana matahari atau gerhana bulan, adalah sunat mu’akkad bagi umat Islam menyempurnakan sembahyang sunat kerananya.

Sembahyang ini boleh dilakukan sendirian ataupun secara berjemaah. Sekiranya dilakukan secara berjemaah, adalah disunatkan diadakan dua khutbah bagi jemaah lelaki setelah sembahyang selesai dilakukan.

Waktu sembahyang ini adalah nyata gerhana sedang berlaku sehinggalah gerhana hilang. Jika berlaku gerhana bulan pada waktu subuh, maka habis waktu sembahyang ialah apabila terbit matahari.


Cara Mengerjakannya


Terdapat dua cara untuk mengerjakan sembahyang gerhana ini:
1. Sembahyang dua rakaat seperti biasa. 
2. Sembahyang yang lebih sempurna ialah tiap-tiap dua rakaat, dua kali rukuk dan dua kali qiam (berdiri).

Sembahyang Dua Rakaat seperti biasa

1. Lafaz dan niat sembahyang adalah seperti berikut: 
Gerhana matahari
(Ushalli sunnata kusuufissyamsi rak’ataini lillaahi ta’aalaa)

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


Gerhana bulan
(Ushalli sunnata khusuufil qamari rak’ataini lillaahi ta’aalaa)

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


2. Apa juga surah boleh dibaca selepas al-Fatihah. Ada riwayat yang mengatakan bahawa kedua-dua bacaan ini hendaklah dibaca ringan.
3. Lakukan sembahyang seperti sembahyang sunat dua rakaat yang biasa. 
4. Selepas memberi salam, kalau sembahyang berjemaah, disunatkan imam atau khatib membaca dua khutbah.


Sembahyang Dua Rakaat Dengan Dua Rakaat Dan Qiam

1. Lafaz dan niatnya adalah seperti tadi. 
2. Selepas membaca al-Fatihah dan surah, rukuk dan baca tasbih rukuk. Selepas itu iktidal. 
3. Selepas iktidal pertama ini, letakkan semula tangan di atas perut lantas baca al-Fatihah dan surah untuk kali kedua. 
4. Selepas membaca al-Fatihah dan surah untuk kali kedua ini, lakukan rukuk dan baca tasbihnya, kemudian iktidal dan terus sujud seperti biasa. 
5. Sesudah itu, berdiri semula untuk melakukan rakaat yang kedua. 
6. Pada rakaat yang kedua, lakukan perkara yang sama, iaitu selepas membaca al-Fatihah dan surah buat kali pertama, kemudian rukuk dan iktidal, dan baca lagi al-Fatihah dan surah buat kali kedua. Kemudian baru sujud, duduk di antara sujud dan sujud kedua, seterusnya baca tahiyat dan beri salam. 
7. Sembahyang sunat gerhana yang paling sempurna ialah sembahyang yang sepertimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda membacakan surah yang panjang-panjang seperti al-Baqarah, surah ali-Imran atau al-Maaidah. Rukuk untuk kali pertama pada setiap rakaat juga dibuat dengan lama tetapi pendek sedikit untuk rukuk kali kedua. Sujud juga dibuat dengan lama. Ini digambarkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. yang bermaksud:
“Bahawa telah terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w. Maka keluarlah Rasulullah s.a.w. ke masjid, berdiri dan bertakbir, dan orang ramai pun menyusun saf di belakang baginda. Maka Rasulullah s.a.w. membaca bacaan yang panjang, sesudah itu bertakbir dan rukuk dengan rukuk yang panjang, kemudian Baginda mengangkat kepalanya dengan membaca “sami’allaahuliman hamidah”. Kemudian berdiri dan membaca pula dengan bacaan panjang (ketika berdiri itu) tetapi lebih pendek daripada bacaan yang pertama. Kemudian Baginda rukuk (kali kedua) dengan panjang tetapi lebih pendek dari rukuk yang pertama tadi. Kemudian Baginda mengucapkan “sami’allaahuliman hamidah”. Kemudian Baginda sujud dan memanjangkan sujudnya. Selanjutnya Baginda melakukan rakaat yang kedua seperti itu juga hingga sempurnalah sembahyang itu dengan empat rukuk dan empat sujud, dan gerhana sudah habis sebelum Baginda memberi salam. Kemudian Rasulullah s.a.w. berkhutbah memuji Allah S.W.T. dan berkata “Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah dua tanda daripada keagungan Allah. Tidaklah Allah menggerhanakannya kerana kematian seseorang, dan tidak pula kerana hidup (lahirnya). Apabila kamu melihat yang demikian berdoalah kepada Allah, dan bertakbirlah kamu serta lakukanlah sembahyang dan bersedekah. Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, maka kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.”


Khutbah Selepas Sembahyang Gerhana

1. Khutbah ini hukumnya sunat. Tidak mengapa kalau tidak dilakukan. 
2. Khutbah hendaklah dibaca dua kali untuk jemaah lelaki. Khatibnya mestilah seorang lelaki. 
3. Bacaan takbir digantikan dengan bacaan istighfar kerana itulah bacaan yang sesuai pada ketika itu. 
4. Syarat tidak mesti mengikuti syarat khutbah jumaat, Cuma hendaklah dibaca di dalam bahasa arab. Ia hendaklah dibaca dengan suara yang kuat agar kesemua jemaah dapat mendengarnya. 
5. Hendaklah mengandungi nasihat untuk memperbanyakkan taubat, membuat amalan yang baik, menjauhi dosa dan maksiat serta kemungkaran.