Saturday, 24 November 2018

Solat Nikah


Sembahyang Sunat Nikah

Setelah selesai majlis akad nikah, maka bagi kedua-dua pengantin, terutamanya pengantin lelaki, adalah disunatkan untuk bersembahyang 2 rakaat sunat kerana nikah.

Ini ialah untuk menandakan syukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas nikmat yang diberikan dan mengingatkan bahawa dengan berkahwin, terpikullah satu amanah Allah yang besar.


Cara Melaksanakannya:

1.     Cara melaksanakan adalah sama dengan sembahyang sunat 2 rakaat yang lain, dengan niatnya:


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sesudah nikah 2 raka’at sunat kerana Allah Ta’ala”.

2.    Bacaan surah selepas al-Fatihah:

Rakaat pertama: Surah al-Kaafirun
Rakaat kedua: Surah al-Ikhlas

3.    Lakukan sebagaimana sembahyang sunat yang lain sebanyak 2 raka’at.


Solat Mutlak


Sembahyang Sunat Mutlak

Selain daripada pada waktu-waktu yang terlarang sembahyang padanya, maka adalah disunatkan untuk sembahyang 2 rakaat. Sembahyang sunat ini dinamakan sembahyang mutlak, yakni sunat yang tidak bersebab, bukan kerana masuk ke masjid, bukan kerana sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu, bukan untuk sesuatu hajat atau sebagainya. Ia merupakan sembahyang yang dilakukan untuk mengisi waktu lapang dengan amalan yang baik.

Rasulullah dan para sahabat, tabi’ib dan para salafussoleh sering mengisi masa lapang mereka dengan sembahyang sunat mutlak ini. Mereka tidak suka membazirkan masa dengan hiburan yang tidak mendatangkan banyak faedah. Malah, kepada mereka, sembahyang itulah merupakan hiburan kerana pada waktu itu, mereka dapat bercakap-cakap dengan kekasih mereka, iaitu Allah S.W.T. secara langsung. Maka, tidak hairanlah ada di kalangan mereka bersembahyang sunat sehingga beratus-ratus rakaat bilangannya. Sembahyang ini juga boleh dilakukan di mana-mana sahaja, asalkan tempatnya bersih.


Cara Melaksanakannya:

1.     Apabila sudah ada whuduk berdirilah tegak menghadap kiblat dan bolehlah dilakukansembahyang sunat mutlak ini.

2.    Lafaz dan niatnya ialah:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat 2 rakaat kerana Allah Ta’ala”.

3.    Lakukan sembahyang sunat mutlak ini sebanyak 2 rakaat sepertimana sembahyang sunat yang lain. Ayat yang dibaca selepas fatihah tidak ada yang khusus, tetapi boleh juga dibuat mengikut kaedah ini:

Rakaat pertama: Surah al-Ikhlas
Rakaat kedua: Surah an-Naas

4.    Selepas memberi salam, bacalah doa seperti ini:


Ertinya: “Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan ibu bapa kami, sebagaimana mereka berdua mengasihi kami semasa kecil. Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhiri hidup kami dengan kesudahan yang buruk”.

5.    Kalau mahu, bolehlah disambung lagi dengan sembahyang sunat mtulak seterusnya.

6.    Tidak ada had raka’at untuk sembahyang sunat mutlak ini, asalkan ia dilakukan dalam 2 raka’at, sekali salam. Ia boleh dilakukan melainkan pada waktu dilarang sembahyang.


Solat Awwabin


Sembahyang Sunat Awwabin

Sejurus selepas sembahyang maghrib dan sebelum sembahyang fardhu isyak, maka disunatkan pula bagi seseorang mengerjakan sembahyang sunat sebanyak 2 hungga 6 raka’at, setiap 2 raka’at, satu salam. Sembahyang sunat ini dinamakan sembahyang sunat Awwabin.


Cara Melaksanakannya

1.     Berdirilah dengan wudhuk dan menghadap kiblat dan sembahyang 2 raka’at yang pertama dengan lafaz atau niatnya:


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat awwabin serta memelihara iman 2 raka’at kerana Allah Ta’ala”.

2.    Bacaan surah selepas al-Fatihah untuk rakaat yang pertama sama iaitu:

a)    Surah al-Ikhlas sebanyak 6 kali
b)   Kemudian, sambung dengan bacaan surah al-Falaq sekali
c)    Kemudian disambung pula dengan surah an-Naas sekali

3.    Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:


Ertinya: “Ya Allah, luaskanlah jalanku dengan iman, dan peliharalah keimanan itu atas diriku dalam hidupku, semasa matiku dan selepas matiku”.

4.    Selepas memberi salam sembahyang 2 raka’at ini, maka kalau mampu teruskan dengan 2 raka’at yang kedua dengan lafaz dan niatnya:


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang 2 raka’at sunat awwabin kerana Allah Ta’ala”.

5.    Bacaan surah selepas al-Fatihah untuk 2 raka’at yang kedua:

Rakaat pertama: Surah al-Kaafirun
Rakaat kedua: Surah al-Ikhlas

6.    Selepas itu pula, berdiri lagi untuk mengerjakan 2 raka’at yang ketiga dengan lafaz dan niatnya:


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang 2 raka’at sunat awwabin serta istikharah kerana Allah Ta’ala”.

7.    Ada 2 pilihan untuk bacaan surah atau ayat selepas al-Fatihah bagi 2 raka’at yang ketiga:

a)    Rakaat pertama: Surah al-Kaafirun
          Rakaat kedua: Surah al-Ikhlas

b)   Rakaat pertama: Ayat 68-70 surah al-Qasas
Rakaat kedua: Ayat 36-38 surah al-Ahzab

8.    Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:


Ertinya: “Ya Allah, pilihlah untukku sesuatu yang padanya kebaikan dan keelokan pada urusan agamaku dan duniaku, dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih”.


Kelebihan Sembahyang Sunat Awwabin

Selain dari dapat menjaga dan memelihara keteguhan iman, akan terhapus dosa mereka yang mengamalkannya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesiapa yang sembahyang selepas sembahyang maghrib enam rakaat sebelum bercakap-cakap, nescaya diampunkan baginya segala dosanya selama lima puluh tahun”.


Sunday, 11 November 2018

Solat Duha


Sembahyang duha ialah sembahyang yang dilakukan pada waktu duha, yakni pada saat matahari naik lebih kurang  segalah (kira-kira pukul 8.30 pagi) sehinggalah matahari berada tetap di tengah-tengah langit. Waktunya ialah selepas waktu sembahyang sunat isyraq.

Sembahyang duha termasuk salah satu sembahyang yang disyariatkan dalam Islam tetapi ia tidak termasuk dalam golongan sembahyang rawatib yang sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana seringnya Baginda melakukan sembahyang sunat witir dan sunat fajar, ia juga tidak termasuk ke dalam sembahyang yang sentiasa dianjurkan Baginda untuk dikerjakan sebagaimana anjuran terhadap sembahyang tahiyatul masjid.

Oleh itu, sembahyang duha boleh dilakukan sebagai sembahyang yang kadang-kadang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan kadang-kadang ditinggalkan Baginda.

Sembahyang duha ini boleh dilakukan sebanyak dua, empat, enam sehingga dua belas rakaat, tiap-tiap dua rakaat satu salam.


Cara Melaksanakannya
1.     Perlaksanaan sembahyang dhuha ini serupa dengan sembahyang sunat yang lainnya, dengan lafaz / niatnya:


Ertinya: ”Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 raka’at kerana Allah Ta’ala”.

2.    Terdapat 3 pilihan bacaan surah yang boleh dibaca selepas al-Fatihah:

a)    Rakaat pertama: Surah asy-Syams
Rakaat kedua: Surah al-Lail

b)   Rakaat pertama: Surah ad-Dhuha
Rakaat kedua: Surah an-Nasr

c)    Rakaat pertama: Surah Quraisy
d)   Rakaat kedua: Surah al-Ikhlas

3.    Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:


Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha waktu dhuhaMu, cahayanya cahayaMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu. Ya Allah, sekiranya ada rezeki di langit maka turunkannya, jika ada di bumi maka keluarkannya, jika jauh maka perdekatkannya, dan jika adanya hamper maka permudahkannya dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu. Berilah kepadaku sebagaimana Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang soleh. Dan semoga Allah cucuri rahmat ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad dank e atas keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Segala puji adalah bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam”.

Kelebihan Sembahyang Duha

Banyak kali riwayat yang menyatakan kelebihan atau keutamaan sembahyang duha ini, antaranya ialah:
1. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud dari Abu Dzar r.a. yang bermaksud: 
“Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk masing-masing ruas tulang badannya. Maka bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid ialah sedekah menyuruh kebaikan adalah sedekah melarang keburukan adalah sedekah, dan sebagai ganti daripada semuanya itu cukuplah mengerjakan duha sebanyak dua rakaat."

2. Ahmad dan Daud meriwayatkan dari Baridah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
“Dalam tubuh manusia itu terdapat 360 ruas tulang. Hendaklah dia bersedekah untuk setiap ruas itu. “Para sahabat bertanya: “Siapakah yang mampu melaksanakan itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, ”kotoran yang ada di masjid, lantas ditutupnya dengan tanah, atau menyingkirkan sesuatu gangguan dari tengah jalan itu bererti sedekah. Atau sekiranya sanggup cukupkanlah sembahyang duha dua rakaat.”

3. Hakim dan Tabrani meriwayatkan daripada Nawas bin Sa’man, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
“Allah S.W.T. berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan sembahyang sebanyak empat rakaat pada permulaan siang (sembahyang duha), kelak akan Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petang.”

4. Ahmad, Tabrani dan Abu Ya'la dari Abdullah bin Umar telah meriwayatkan yang telah meriwayatkan yang bermaksud: 
“Rasulullah s.a.w. mengirimkan satu pasukan tentera lalu mereka banyak mendapatkan harta rampasan dan cepat kembali. Maka orang ramai memperkatakan bertapa cepatnya perang itu selesai dan bertapa banyaknya harta rampasan diperolehi dan segera pula kembali. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, mahukah kamu saya tunjukkan sesuatu yang lebih cepat daripada peperangan yang seperti itu, lebih banyak pula harta rampasan bahkan lebih cepat pula kembali daripada itu? Iaitu seseorang yang berwuduk kemudian pergi ke masjid untuk melakukan sembahyang duha. Orang itulah lebih cepat selesai perang, lebih banyak memperolehi harta rampasan dan lebih segera pula kembalinya.”

Solat Gerhana



Apabila berlaku gerhana matahari atau gerhana bulan, adalah sunat mu’akkad bagi umat Islam menyempurnakan sembahyang sunat kerananya.

Sembahyang ini boleh dilakukan sendirian ataupun secara berjemaah. Sekiranya dilakukan secara berjemaah, adalah disunatkan diadakan dua khutbah bagi jemaah lelaki setelah sembahyang selesai dilakukan.

Waktu sembahyang ini adalah nyata gerhana sedang berlaku sehinggalah gerhana hilang. Jika berlaku gerhana bulan pada waktu subuh, maka habis waktu sembahyang ialah apabila terbit matahari.


Cara Mengerjakannya


Terdapat dua cara untuk mengerjakan sembahyang gerhana ini:
1. Sembahyang dua rakaat seperti biasa. 
2. Sembahyang yang lebih sempurna ialah tiap-tiap dua rakaat, dua kali rukuk dan dua kali qiam (berdiri).

Sembahyang Dua Rakaat seperti biasa

1. Lafaz dan niat sembahyang adalah seperti berikut: 
Gerhana matahari
(Ushalli sunnata kusuufissyamsi rak’ataini lillaahi ta’aalaa)

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


Gerhana bulan
(Ushalli sunnata khusuufil qamari rak’ataini lillaahi ta’aalaa)

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


2. Apa juga surah boleh dibaca selepas al-Fatihah. Ada riwayat yang mengatakan bahawa kedua-dua bacaan ini hendaklah dibaca ringan.
3. Lakukan sembahyang seperti sembahyang sunat dua rakaat yang biasa. 
4. Selepas memberi salam, kalau sembahyang berjemaah, disunatkan imam atau khatib membaca dua khutbah.


Sembahyang Dua Rakaat Dengan Dua Rakaat Dan Qiam

1. Lafaz dan niatnya adalah seperti tadi. 
2. Selepas membaca al-Fatihah dan surah, rukuk dan baca tasbih rukuk. Selepas itu iktidal. 
3. Selepas iktidal pertama ini, letakkan semula tangan di atas perut lantas baca al-Fatihah dan surah untuk kali kedua. 
4. Selepas membaca al-Fatihah dan surah untuk kali kedua ini, lakukan rukuk dan baca tasbihnya, kemudian iktidal dan terus sujud seperti biasa. 
5. Sesudah itu, berdiri semula untuk melakukan rakaat yang kedua. 
6. Pada rakaat yang kedua, lakukan perkara yang sama, iaitu selepas membaca al-Fatihah dan surah buat kali pertama, kemudian rukuk dan iktidal, dan baca lagi al-Fatihah dan surah buat kali kedua. Kemudian baru sujud, duduk di antara sujud dan sujud kedua, seterusnya baca tahiyat dan beri salam. 
7. Sembahyang sunat gerhana yang paling sempurna ialah sembahyang yang sepertimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda membacakan surah yang panjang-panjang seperti al-Baqarah, surah ali-Imran atau al-Maaidah. Rukuk untuk kali pertama pada setiap rakaat juga dibuat dengan lama tetapi pendek sedikit untuk rukuk kali kedua. Sujud juga dibuat dengan lama. Ini digambarkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. yang bermaksud:
“Bahawa telah terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w. Maka keluarlah Rasulullah s.a.w. ke masjid, berdiri dan bertakbir, dan orang ramai pun menyusun saf di belakang baginda. Maka Rasulullah s.a.w. membaca bacaan yang panjang, sesudah itu bertakbir dan rukuk dengan rukuk yang panjang, kemudian Baginda mengangkat kepalanya dengan membaca “sami’allaahuliman hamidah”. Kemudian berdiri dan membaca pula dengan bacaan panjang (ketika berdiri itu) tetapi lebih pendek daripada bacaan yang pertama. Kemudian Baginda rukuk (kali kedua) dengan panjang tetapi lebih pendek dari rukuk yang pertama tadi. Kemudian Baginda mengucapkan “sami’allaahuliman hamidah”. Kemudian Baginda sujud dan memanjangkan sujudnya. Selanjutnya Baginda melakukan rakaat yang kedua seperti itu juga hingga sempurnalah sembahyang itu dengan empat rukuk dan empat sujud, dan gerhana sudah habis sebelum Baginda memberi salam. Kemudian Rasulullah s.a.w. berkhutbah memuji Allah S.W.T. dan berkata “Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah dua tanda daripada keagungan Allah. Tidaklah Allah menggerhanakannya kerana kematian seseorang, dan tidak pula kerana hidup (lahirnya). Apabila kamu melihat yang demikian berdoalah kepada Allah, dan bertakbirlah kamu serta lakukanlah sembahyang dan bersedekah. Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, maka kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.”


Khutbah Selepas Sembahyang Gerhana

1. Khutbah ini hukumnya sunat. Tidak mengapa kalau tidak dilakukan. 
2. Khutbah hendaklah dibaca dua kali untuk jemaah lelaki. Khatibnya mestilah seorang lelaki. 
3. Bacaan takbir digantikan dengan bacaan istighfar kerana itulah bacaan yang sesuai pada ketika itu. 
4. Syarat tidak mesti mengikuti syarat khutbah jumaat, Cuma hendaklah dibaca di dalam bahasa arab. Ia hendaklah dibaca dengan suara yang kuat agar kesemua jemaah dapat mendengarnya. 
5. Hendaklah mengandungi nasihat untuk memperbanyakkan taubat, membuat amalan yang baik, menjauhi dosa dan maksiat serta kemungkaran.

Solat Aidil Adha



Sembahyang sunat aidil adha atau hari raya haji atau hari raya korban dilakukan 10 zulhijjah setiap tahun.

Walaupun kemuncak haji bertempat di Mekah namun semua umat Islam digalakkan menyambutnya dengan melakukan aktiviti ibadah seperti sembahyang hari raya haji, bertakbir dan berkorban.

Kalau hari raya aidil fitri ialah mengucapkan syukur ke hadrat Allah setelah sebulan berpuasa, ataupun yang gagal menempuh ujian puasa dengan baik, itulah waktu untuk dia bertaubat dan menyesal. Maka pada hari raya haji pula umat Islam hendaklah mengingati kisah-kisah pengorbanan yang pernah dilakukan oleh para nabi terutamanya kisah pengorbanan Nabi Ismail oleh bapanya Nabi Ibrahim, kaum keluarga mereka, wali-wali dan orang soleh. Pengorbanan mereka yang begitu tinggi itulah tanda pengabdian mereka kepada Allah yang tidak berbelah bahagi dan kita patut mencontohi mereka. Kerana itulah selain berhimpun dan bersembahyang beramai-ramai (iaitu cara yang afdhal), kita juga disunatkan melakukan korban binatang dan mengagih-agih dagingnya kepada orang yang miskin. Itu sebagai latihan kita berkorban untuk saudara sesama Islam demi kerana Allah SWT.

Adapun hukumnya sama dengan sembahyang sunat hari raya aidil fitri iaitu sunat muakkad dan Rasulullah saw tidak pernah meninggalkannya.

Waktu mengerjakannya juga sama dengan sembahyang aidil fitri iaitu apabila matahari tinggi segalah sehinggalah tergelincir matahari ke barat.

Tentang perkara-perkara yang sunat dilakukan sebelum sembahyang hari raya ini, yang berbeza ialah makan dan minum sebelum sembahyang. Sebelum sembahyang hari raya haji tidak disunatkan makan dan minum, tetapi terus sahaja melakukan sembahyang.

Cara Sembahyang

1. Lafaz dan niat sembahyang adalah seperti berikut: 

Ertinya: 
“Sahaja aku sembahyang sunat aidil adha 2 rakaat mengikut imam/menjadi imam kerana Allah Ta’ala.”


2. Bacaan takbir dan tasbih ketika sembahyang adalah sama dengan sembahyang sunat aidil fitri.
3. Bacaan surah selepas al-Fatihah:
Rakaat pertama: surah al-‘Ala. 
Rakaat kedua: surah al-Ghasyiyah.


4. Mengenai takbir pada hari raya haji adalah disunatkan bertakbir sejak petang malam 10 zulhijjah sehingga pembacaan khutbah oleh khatib/imam di mana-mana sahaja dan di waktu apa juga selain daripada selepas sembahyang fardhu asar pada 10, 11, 12 dan 13 zulhijjah.